Friday, September 16, 2011

Copy Of Rindu



Diluluskan pada Khamis, 23 Mac 2006 @ 9:09:57 oleh istisafa
Semasa 


ToK_iMaM menulis "Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain. saya menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.
"Assalamualaikum.", seru Subuh.

"Wa'alaikumsalam", sahutku.

Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

"Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... saya baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan airmata Subuh pun berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah saya menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.

"Oh ya, tadi saya lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi jarang kujumpa.

Di situ saya meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka".
Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. saya fahami maksud Subuh.

"Maaf Subuh. saya tiada menanam pohon Al-Lail, jadi saya tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi saya ada Roti Shiyam",cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kata Subuh. "Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh.

"Baiklah, ambilkan saya sedikit, serta bawakan saya segelas Air Mata Tangisan", pinta Subuh.

saya agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan?

Namun. saya tetap menjenguk ke dalam Perigi yang memuatkan Mata Air tersebut. saya terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan saya berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir?

Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku. saya memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya,wahai Subuh".

Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi.

"Saya perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana saya menguliti mimpimu".

Dan saya akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?"

"InsyaAllah", jawab Subuh,"... bukankah saya kekasih yang kau rindui?" Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum", seru Subuh.
"Wa’alaikumussalam", jawabku kembali. Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

P/S : Apalah agaknya keluh kesah dari Zohor, Asar, Magrib dan Isyak? Jawapannya... tersirat dalam diri.

Tuesday, September 6, 2011

Gerakan Dakwah Di Malaysia :Satu Penilaian


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

KeranaNyalah hari ini kita masih hidup dan dengan itu setinggi-tinggi pujian dipanjatkan moga rahmatNya sentiasa berkekalan terus menerus bertapak pada hati-hati yang tenang.

Pertamanya ingin sekali saya memohon berbanyak-banyak kemaafan di atas segala kekurangan yang terdapat dalam tulisan ini .Segala isi kandungan yang terdapat dalam tulisan ini keseluruhannya saya ambil dari sebuah monograf yang bertajuk “GERAKAN DAKWAH DI MALAYSIA: SATU PENILAIAN”.Hanya beberapa patah perkataan sahaja yang diubah atas sebab-sebab yang tertentu tetapi tidaklah membawa kepada perubahan maksud yang ingin disampaikan.Monograf ini mempunyai helaian mukasurat yang tidaklah seberapa tetapi ia mempunyai isi yang bagi saya sangat ringkas dan padat.Oleh itu hati saya begitu tertarik untuk berkongsi hasil tulisan ini yang saya kira sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi pengetahuan  sahabat-sahabat sekalian dan juga siapa sahaja yang membacanya.Ambillah sedikit masa untuk membaca dan menghayatinya kerana ia agak panjang.Satu sahaja permintaan saya,bagi sesiapa sahaja yang membacanya sekiranya ada yang kurang bersetuju dengan entri ini atau terdetik dihati “Aah!penulis tidak pernah memahami perjuangan kami” atau seumpama dengannya hanya kerana ia bersalahan dengan apa yang anda perjuangkan selama ini dengan ini saya meminta supaya buangkanlah perasaan itu jauh-jauh.Pandanglah Islam itu dalam ruanglingkup yang lebih luas lagi dan anggaplah tulisan ini hanyalah satu daripada pandangan peribadi seorang insan yang memerhati.Penulis ialah ialah Firdaus Khairi Bin Abdul Kadir . Beliau merupakan lulusan dari Universiti al-Azhar dan kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan Dan Penerbitan Yayasan Islam Terengganu.

GERAKAN DAKWAH DI MALAYSIA: SATU PENILAIAN

PENDAHULUAN
 Secara umumnya dewasa ini,pelbagai gerakan dakwah menular tanpa sebarang kajian yang terperinci tentang hakikat manhaj dakwah.Sebenarnya usia ilmu dakwah adalah terlalu muda jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu syariat lain seperti fiqah,tauhid, sirah,ulum quran,ulum hadis ,bahkan ilmu tasauf lebih terdahulu matang jika dibandingkan dengan ilmu dakwah.Secara sepintas lalu bolehlah dikatakan bahawa ilmu-ilmu syariat tersebut telahpun dibahaskan oleh para ulama silam tetapi ilmu dakwah tidak dibahaskan secara terperinci.
Dalam bidang syariah,persoalan tentang halal,haram,makruh,harus dan sunat telahpun dikupas dengan begitu terperinci oleh ulama syariah seperti Imam Syafie,Imam Hanafi,Imam Maliki dan Imam Hambali sehingga mereka membentuk mazhab-mazhab yang terus berkembang sehingga ke hari ini.Pelbagai hukum telahpun disepakatkan hukumnya begitu juga halnya dengan hukum-hukum rantingan yang menjadi khilaf di kalangan ulama.Pokok persoalannya disini ialah persoalan-persoalan sedemikian telahpun berlangsung begitu lama dan terus berkembang sehingga ke hari ini.Ulama-ulama terkini terus berijtihad terhadap sebarang hukum baru yang timbul agar segala kegawatan tentang masalah hukum mudah dirujuk,dengan ini Islam akan terus utuh dan berkembang.
Perkembangan ilmu tauhid sememangnya telah menuju kematangan semenjak era kegemilangan Imam Ghazali lagi.Sewaktu kelahiran Imam Ghazali telah berlaku satu krisis pertembumngan akidah di antara golongan pelampau akidah(Ifrath) dan golongan yang meremeh-remehkan persoalan akidah(Tafrith).Golongan Ifrath ini telah dipelopori oleh puak-puak Muktazilah dan Falsafah, manakala golongan Tafrith pula didalangi oleh puak Hashwiah.Puak ini mengatakan bahawa Allah mempunyai tangan, wajah dan duduk seperti manusia berdasarkan dalil al-Quran.Kemunculan Imam Ghazali adalah amat releven dengan suasana pada waktu itu.Beliau telahpun merungkaikan persoalan akidah dengan begitu terperinci seperti yang terkandung didalam kitabnya yang masyhur “Al-Iqtisad Fil I’tiqad”.
Apabila Islam dikejutkan dengan kejatuhan Khilafah Islamiyyah, hiduplah umat Muhammad dalam keadaan terkapai-kapai.Negara-negara umat Islam dijajah oleh negara-negara barat yang rakuskan kekayaan negara-negara Islam seperti Libya, Mesir, Syria, Maghribi di timur tengah dan banyak lagi negara-negara Islam yang lain di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia,Brunei dan Filipina.Nasib malang negara-negara umat Islam ini menjadi semakin parah bila mana penjajah barat melancarkan dasar pecah perintah (Fariq Tasud) di samping gerakan kristianisasi.Kelekaan umat Islam setelah terhimbau dengan kehebatan pejuang-pejuang Islam satu masa dahulu menjadikan umat Islam begitu asyik sehingga merasakan Khilafah Islamiyyah mustahil dijatuhkan.
Sebenarnya kejatuhan itu menjadikan umat Islam semakin matang untuk meluaskan satu disiplin ilmu yang baru.Kejatuhan Khilafah Islamiyyah telah menganjak paradigma umatnya, seterusnya para ulama menjadi katalis ilmu baru iaitu ilmu dakwah.Sekali lagi perselisihan umat Muhammad terjadi,para ulama bangkit untuk melancarkan pendekatan masing-masing dan sememangnya pendekatan mereka berbeza meskipun matlamatnya sama iaitu ingin mengembalikan kegemilangan Khilafah Islamiyyah di muka bumi ini.

PENDEKATAN PERTAMA
Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh para pendakwah antaranya ialah pendekatan revolusi terhadap pemerintahan yang sedia ada sepertimana yang berlaku di negara Iran.Meskipun revolusi itu berjaya tetapi ianya bukanlah didasari oleh kesedaran Islam yang sebenarnya malahan keinginan rakyat yang merasa terhimpit dengan kezaliman Syah Iran seterusnya mereka inginkan satu perubahan yang drastik, maka muncullah sebuah negara yang berfahaman Syiah yang dipimpin oleh Ayatollah Khomeini.
Fenomena yang berlaku di negara Iran secara realitinya adalah berbeza dengan apa yang digambarkan.Sebenarnya apabila sebarang perubahan yang ditunjangi oleh rasa himpitan hidup dan bukannya atas dasar keikhlasan untuk berubah selalunya berakhir dengan pemberontakan jiwa.Sememangnya revolusi di negara Syiah Iran telahpun berjaya tetapi disana telah berlaku satu fenomena baru iaitu penutupan aurat hanya berkuatkuasa di negara mereka sahaja.Apabila mereka berada di negara lain seolah-olah mereka ini tidak pernah ditarbiah dan tidak mendapat sebarang kesedaran sewaktu berada di negara mereka.Kejayaan revolusi di negara Iran telah memberi kesan yang amat mendalam dikalangan para ekstrimis agama di negara-negara lain  termasuklah negara kita Malaysia.
Para ekstremis agama ini seolah-olah terhimbau dengan gerakan revolusi tersebut tanpa melihat realiti yang berlaku di negara mereka bersesuaian atau sebaliknya.Lebih parah lagi mereka ini cuba membawa fahaman Syiah ke negara mereka kemudiannya mengisytiharkan bahawa fahaman Syiah boleh digunapakai dalam urusan seharian seterusnya mereka mengaitkan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sepertimana yang telah kita maklumi fahaman Syiah adalah jauh berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.Pertembungan antara dua fahaman ini telah lama dirungkaikan oleh para ulama silam dan pelbagai usaha telah digunakan oleh para ulama untuk merapatkan dua fahaman ini termasuklah menubuhkan Darul Taqrib oleh Universiti Al-Azhar tetapi masih belum ada penyesuaian.Mana mungkin ada penyesuaian antara dua fahaman tersebut sekiranya para sahabat nabi(kecuali Ali) telah diisytiharkan kafir oleh pendukung fahaman Syiah.
Kalau sekiranya diselidiki balik bagaimana fahaman Syiah itu bermula pastinya kita tidak terfikir bahawa pencetus pemikiran ini ialah golongan Yahudi iaitu Abdullah bin Saba’.Beliau adalah seorang yang berbangsa Yahudi dan memeluk agama Islam untuk memecah-belahkan umat Islam yang telahpun sebati dengan sunnah Rasulullah.Lelaki Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam ini telah menyebarkan satu mazhab baru yang dikenali sebagai “mazhab Al-Wasayah”.Konsepnya diambil daripada agama Yahudi.Beliau menyebarkan bahawa Ali bin Abi Talib ialah wasi atau orang yang diwasiatkan oleh baginda untuk dilantik menjadi khalifah.Dakwaannya lagi,Ali ialah wasi terakhir sebagaimana Nabi Muhammad adalah nabi yang terakhir.
PENDEKATAN KEDUA
Pendekatan kedua yang diijtihadkan ialah pendekatan oposisi,iaitu satu pendekatan permusuhan dengan pemerintah yang sedia ada.Pendekatan ini menjadi semakin fanatik sehingga mereka merasakan hanya pendekatan mereka sahaja yang benar-benar telus dan mengetepikan pendekatan yang dilakukan oleh orang lain.Mereka telah mencuba sedaya upaya untuk mempengaruhi orang lain sehinggakan mereka sanggup mentafsirkan Al-Quran dan Hadis berdasarkan selera mereka sendiri,begitu juga dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama mereka sahaja yang tepat.Seterusnya mereka menafikan fatwa ulama-ulama yang lebih muktabar seperti fatwa berbilang-bilang jemaah di dalam negara umat Islam.Cara pendekatan mereka seolah-olah tidak berpijak di alam realiti dan bersifat kedaerahan.Mereka hanya bersahabat dengan golongan yang bersependapat dengan mereka sahaja.Inilah realiti yang berlaku di dalam kalangan penuntut kita di Mesir dan beberapa buah institusi pengajian tinggi di Malaysia.Mereka kononnya mendalami ilmu agama tetapi di dalam masa yang sama mengenepikan pandangan Islam dalam konsep Ukhuwwah Islamiyyah.Mereka pada pandangan saya bukanlah entiti pelajar yang tulen bahkan entit sosial yang lebih cenderung dalam bidang politik.
Pendekatan yang dilakukan oleh gerakan ini lebih bersifat politik,ini adalah kerana mereka sememangnya terlibat secara langsung dalam politik kepartian seterusnya bertanding melaui konsep demokrasi berperlembagaan demi memastikan hasrat gerakannya tercapai.Mereka terlalu asyik dengan fenomena politik sehingga sanggup memulau sesiapa sahaja yang bertentangan dengan fahaman mereka.Fenomena ini menjadi semakin ruwat, bilamana sesetengah daripada mereka telah berani mengeluarkan fatwa-fatwa jari’(berani),tanpa merujuk kepada pandangan yang lebih telus dari para ulama yang lebih muktabar.
Fatwa jari’ yang dimaksudkan ini ialah fatwa yang dikeluarkan berdasarkan selera mereka sahaja seterusnya mengenepikan konsep siasah syar’iyyah,fiqh aulawiyyat,fiqh muazanat,dan banyak relevansi-relevansi lain yang diketepikan seperti wewenang(budi bicara) dan at-tasamuh.Lanjutan daripada fatwa-fatwa jari’ ini telah membuahkan hasil yang amat menyedihkan umat Muhammad seperti isu mengkafirkan ahli syahadah,sembahyang dua imam,mengharamkan sembelihan orang Islam yang lain dan banyak lagi fenomena aneh yang muncul.

PENDEKATAN KETIGA
Pendekatan yang ketiga ialah satu pendekatan yang ditunjangi rasa kecintaan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah melaui konsep Ihya’ us-Sunnah fil Masjid.Mereka menggunakan peralatan yang digunakan oleh Rasulullah seperti kayu sugi, pakaian ala ulama India dan Pakistan,makan bertalam beramai-ramai,menziarahi rumah-rumah Allah disamping menziarahi sahabat handai dan (tasykil) mengajak mereka bersama-sama menghidupkan budaya ini.
Pendekatan ini menekankan budaya hidup Rssulullah semta-mata sehingga mengabaikan fenomena yang berlaku secara realiti.Mereka ini keluar berdakwah ke jalan Allah di segenap pelosok msyarakat dengan berbekalkan keimanan dan ketakwaan.Dalam masa yang sama anak dan isteri ditinggalkan dirumah dengan berbekalkan sedikit nafkah zahir sahaja.Nafkah batin kurang diberi penekanan dengan alasan bahawa sahabat Rasulullah meninggalkan anak isteri mereka sewaktu berperang menegakkan kalimah Allah selama enam bulan tetapi setelah mendengar rintihan seorang isteri yang ditinggalkan suaminya untuk berjihad,lalu dipendekkan menjadi empat bulan sahaja.Sebenarnya alasan seperti ini adalah tidak sesuai untuk dikaitkan,konsep perjuangan para sahabat untuk menegakkan kalimah Allah adalah berbeza jika diteliti.Para sahabat dahulu berjuang ke jalan Allah untuk memastikan kalimah Allah tertegak di muka bumi ini seterusnya berkembang keseluruh alam,tetapi cara perjuangan pendekatan ini sememangnya berbeza.Mereka ini keluar ke pelosok kampung dan daerah untuk menyampaikan risalah dakwah tetapi dalam masa yang sama tanggungjawab sebagai suami dan ayah diabaikan.
Pendekatan seperti ini sedikit sebanyak boleh merugikan umat Islam,ini adalah kerana imej yang ditonjolkan agak selekeh dari segi pemakaian dan identiti.Begitu juga dengan cara pergerakan mereka bergerak iaitu menggendong periuk belanga dan peralatan makanan dari sebuah masjid ke sebuah masjid yang lain seterusnya menginap di masjid tersebut dalam keadaan sehelai sepinggang.Cara pendekatan seperti ini boleh menggambarkan keadaan umat Islam yang tidak mengutamakan kebersihan dan kekemasan dari sudut penampilan, sedangkan dalam masa yang sama musuh-musuh Islam sedang mencerap perkembangan umat Islam dari masa ke semasa.Mereka ini pastinya mencari ruang kelemahan yang ada pada umat Islam untuk didakyahkan kepada masyarakat umum.

PENDEKATAN KEEMPAT
Pendekatan keempat pula ialah satu pendekatan yang menekankan kepada konsep Sufi iaitu melalui turusufiah.Sebenarnya pendekatan ini telah menular ke Gugusan Kepulauan Melayu semenjak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu lagi.Pendekatan inilah yang telah mematangkan Islam di Kepulauan Melayu satu ketika dahulu.Antara ulama-ulama di Tanah Melayu yang menekankan konsep ini ialah Tok Ku Tuan Besar(Tok Ku Paloh), Syeikh Abdul Malik(Tok Pulau Manis),Tok Kenali,Haji Mat Syafie(Losong),Haji Said(Seberang Marang) dan ramai lagi ulama-ulama lampau yang telah menyelitkan unsur sufi di dalam gerakan dakwah di samping ilmu-ilmu syariat yang lain.Mereka ini menjadikan masjid atau surau sebagai pangkalan mereka dan ada di kalangan penuntut yang benar-benar berminat ingin mendalami ilmu-ilmu Islam.Mereka ini membina pondok-pondok kecil di sekeliling masjid atau surau tersebut.Budaya seperti ini terus berkembang sehingga sekarang seperti pondok Kerandang di Besut,Pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Pondok Tal Tujuh di Pasir Mas yang diasaskan oleh Ustaz Dr Uthman al-Muhammadi.
Setelah dunia berkembang kearah era globalisasi,tempiasnya juga terasa di Malaysia.Masyarakat mula kurang berminat dengan institusi pondok ,kecenderungan masyarakat lebih kepada institusi yang lebih terjamin dari segi kerjaya.Kini pandangan masyarakat telah berubah daripada institusi pondok kepada institusi pengajian tinggi seperti universiti dan kolej tempatan ataupun di luar negeri.Sesetengah cendikiawan Islam ada yang berpandangan bahawa institusi pondok ini tidak perlu dihapuskan tetapi cara pelaksanaannya perlu diubah dan dipertingkatkan.Hasil daripada pandangan tersebut maka tertubuhlah Pondok Moden di Kemaman dan di Kuala Berang yang diselenggarakan oleh Yayasan Islam Terengganu.Institusi ini pada dasarnya ialah sebuah sekolah yang mana penuntutnya dibekalkan dengan asrama,wang saku dan kitab-kitab pengajian,tetapi yang menariknya ialah ilmu yang disampaikan kepada penuntut-penuntut tersebut berorientasikan pondok.Penuntut diajar oleh para ulama berkaitan ilmu agama melalui pendekatan pondok,kitab-kitab yang digunakan ialah kitab-kitab turas jawi dan arab.
Pada dasarnya cara pendekatan sufi di dalam gerakan dakwah ini adalah begitu menarik dan mampu menarik perhatian masyarakat yang dahagakan pembersihan jiwa, tetapi yang amat menyedihkan ialah sikap sebahagian ulama yang membawa pendekatan ini ada di antaranya mengambil kesempatan untuk menyeleweng akidah pengikutnya sehinggakan mereka menjadi terlalu taksub dengan guru mereka.Segala apa yang diperkatakan oleh guru mereka adalab benar meskipun ianya terang-terang bersalahan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.Ekoran itu timbul persoalan yaqazhah(bercakap dengan Rasulullah secara jaga),begitu juga dengan persoalan Imam Mahdi sehingga ada yang mengaku gurunya adalah Imam Mahdi sedangkan Imam Mahdi yang sebenarnya masih belum lagi wujud di muka bumi ini.Para pengikut gerakan dakwah yang menyeleweng ini menjadi semakin tersasar , mereka membawa wajah gurunya kemana sahaja mereka pergi.Paling menyedihkan ialah golongan wanita mereka bolehlah diibaratkan sebagai tempat untuk memuaskan nafsu dan mereka ini berlumba-lumba untuk menjadi isteri kepada guru mereka.Pendekatan ini telah jauh menyeleweng dari landasan Islam yang sebenarnya sehingga kerajaan Malaysia terpaksa melancarkan jihad menentang penyeleweng akidah.Hasilnya banyak gerakan berorientasikan tarikat diharamkan seterusnya diisytiharkan ajaran sesat.

PENDEKATAN KELIMA
Pendekatan dakwah yang kelima ialah satu pendekatan yang menitikberatkan soal tarbiah dikalangan pendukung gerakan ini,seolah-olah mereka meletakkan syarat untuk berjuang di bawah gerakan mereka.Di antara syarat-syaratnya ialah seorang yang intelek,berakhlak mulia dan sanggup di tanzimkan(disistemkan) berdasarkan kehendak gerakan mereka.Pendekatan ini sebenarnya ialah satu gerakan rantingan yang berpusat di Mesir seterusnya dikembangkan keseluruh dunia oleh penuntut-penuntut yang pernah belajar di Mesir.Mereka ini membuka lembaran baru dalam gerakan dakwah dan ingin dikembangkan di tanah air mereka.
Konsep gerakan ini adalah berlainan sedikit jika dibandingkan dengan gerakan-gerakan lain.Ini adalah kerana gerakan ini lebih tertarik dengan cara pendekatan Rasulullah di peringkat permulaan Islam di kota Makkah iaitu “uslub sirr”.Gerakan ini seolah-olah mengandaikan bahawa keadaan politik di tanah air mereka adalah sama dengan tekanan rakyat di Mesir.Sehubungan dengan itu, segala apa yang diperolehi melalui gerakan dakwah di Mesir terus diterima secara total.Diantara kaedah yang diterima secara total,seperti mereka ini tidak menyatakan secara umum siapakah ketua di kalangan mereka.
Gerakan ini juga amat memberi  penekanan terhadap usrah di kalangan ahli,akan tetapi usrah yang disampaikan adalah secara tertutup.Sesiapa yang berminat untuk mengikuti usrah tersebut tidak akan terus diterima bahkan individu tersebut akan diselidiki terlebih dahulu latar belakang dirinya dan juga sikapnya adakah mencapai piawaian yang ditetapkan atau sebaliknya.Setelah individu tersebut telah dikenalpasti mampu mengikuti manhaj yang telah ditetapkan barulah boleh mengikuti sebarang program mereka seperti usrah, tamrin, mukhayyam dan lain-lain aktiviti.
Satu perkara yang agak menarik di dalam gerakan ini ialah mereka ini terhimbau dengan gerakan induk di Mesir.Sebenarnya gerakan induk yang berpusat di Mesir itu ingin mengembalikan semula empayar Islam di seluruh dunia.Empayar tersebut pada pandangan mereka mestilah berpusat di Mesir ,tetapi yang agak tidak praktikalnya ialah semua negara Islam diseluruh dunia mesti tunduk di bawah pemerintahan Islam manakala negara-negara Islam yang lainnya akan diperintah oleh seorang gabenor yang dilantik oleh Khilafah Islamiyyah yang berpusat di Mesir.Secara teorinya ialah gerakan tersebut adalah untuk mengembalikan kegemilangan Islam semenjak zaman Rasulullah lagi, tetapi bila mana kita dipecahperintahkan oleh penjajah adalah menjadi terlalu sukar untuk direalisasikan kegemilangan tersebut pada masa kini.

PENDEKATAN KEENAM
Pendekatan yang dicanangkan oleh gerakan dakwah yang keenam ini ialah menyatakan yang hak kepada sesiapa sahaja walaupun mendapat pelbagai rintangan.Gerakan dakwah ini sebenarnya membawa wadah pemersatu demi untuk melihat bangsa Melayu-Islam bersatu dalam erti kata yang sebenarnya.Gerakan ini berpandangan bahawa perpecahan dikalangan ahli syahadah adalah sia-sia sahaja.Wadah pemersatu yang dimaksudkan ini juga merangkumi penyatuan parti-parti politik Melayu, dengan ini menjadikan pendekatan ini agak mencabar lantaran sikap sesetengah bangsa Melayu yang lebih suka berada di dalam keruwatan.
Didalam gerakan ini,konsep wasotiatul Islam iaitu kesederhanaan didalam Islam sering diutarakan, ini adalah kerana kehidupan masyarakat Islam pada hakikatnya perlu sebuah kesederhanaan.Konsep yang dibawa oleh gerakan ini bertujuan mengembalikan kegemilangan Islam di Malaysia khasnya dan ke seluruh dunia amnya.Pelbagai program telah disusun oleh gerakan ini,program ini lebih bersifat jamahiriyyah iaitu menyeluruh di segenap lapisan masyarakat tidaklah terhad untuk individu-individu tertentu sahaja.Mereka berkeyakinan bahawa Islam akan bangkit diseluruh dunia tetapi kebangkitan tersebut berlaku dengan cara yang berbeza di antara negara-negara Islam, di atas dasar itulah cara reformasi berkonsepkan islamisasi dipergiatkan.Setelah melalui pelbagai pahit-maung didalam gerakan dakwah semenjak awal penubuhannya di awal 70an sehinggalah sekarang,sedikit sebanyak telah memberi impak yang amat mendalam di sanubari umat Muhammad di Malaysia.
Di dalam gerakan ini,manhaj dakwah bagi pandangan mereka mestilah bersesuaian dengan suasana rakyat sesebuah negara tersebut.Manhaj yang sesuai di Malaysia adalah manhaj Malizie bukannya manhaj Masri ataupun manhaj Pakistani.Sehubungan dengan itu,cara pendekatan dakwah di Malaysia haruslah bersesuaian dengan adirasa masyarakat di Malaysia.Manhaj Malizie yang dimaksudkan ini adalah satu manhaj dakwah yang menyaring gerakan-gerakan dakwah di negara Islam yang lain dengan mengambil kira semua aspek yang bersesuaian dengan suasana di Malaysia.
Gerakan ini lebih bersifat moderat didalam penyampaian dakwah, penekanan banyak tertumpu untuk menangani masalah kebejatan sosial dan kepincangan hidup.Gerakan ini juga berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam di mayapada ini.Untuk merealisasikan hasrat murni ini, satu rangka kasar telah diatur berlandaskan tiga marhalah utama iaitu:
1.       Marhalah Tarbiyyah
2.       Marhalah Daulah Islamiyyah
3.       Marhalah Khilafah Islamiyyah
Ketiga-tiga marhalah ini perlu dilalui berdasarkan prioriti-prioriti yang telah digariskan oleh ulama-ulama ulung dunia masa kini seperti Syeikh Prof Dr Yusof al-Qardawi,Syeikh Muhammad al-Ghazali,Dr. Muhammad Imarah,Syeikh Muhammad Qutub,Dr. Taha Jabir al-Alwani dan ramai lagi mujaddid Islam kontemporari yang menjadi sandaran.
Perlantikan pemimpin didalam gerakan dakwah ini bukanlah secara majoriti ahli,tetapi ianya berdasarkan keputusan ahli majlis syura.Dengan ini,segala keputusan syura itulah yang perlu dibaiah,ini adalah kerana syura mengambil kira semua aspek seseorang pemimpin tersebut sama ada dari segi keterampilan dan ketokohannya ataupun kesesuaiannya dengan suasana semasa.Fenomena syura dan baiah ini sebenarnya telah dipraktikkan sewaktu kegemilangan Islam di zaman Rasulullah dan Khulafa ar Rasyidin lagi tetapi setelah pemerintahan Islam diambil oleh Bani Umayyah,manhaj syura tersebut dimansuhkan kemudiannya digubal manhaj baru berdasarkan keturunan.

KESIMPULAN
Risalah dakwah sebenarnya telah bermula semenjak Nabi Allah Adam diperintahkan oleh Allah untuk mentadbir bumi ini lagi.Ini bermakna syariat Islam yang dibawa oleh nabi-nabi selepasnya adalah pelanjut syariat Islam.Apabila Allah mengangkat nabi kita Muhammad s.a.w menjadi rasul akhir zaman,ini menunjukkan bahawa syariat Islam telahpun kemas, tuntas dan sempurna.Syariat Islam yang disampaikan oleh Junjungan Besar Muhammad s.a.w adalah penyelesai sebarang kegawatan yang berlaku diatas muka bumi ini.Segala pendekatan yang hendak diijtihadkan haruslah berakarumbikan dengan syariat Islam yang digariskan oleh Rasulullah, bukannya pendekatan yang berunsur sentimen, emosi dan asabiah.
Pembawa risalah dakwah haruslah bersifat releven dengan keadaan, sikap oposisi dengan pemerintah tidak mendatangkan sebarang impak yang menarik bagi sesebuah gerakan dakwah begitu juga dengan cara revolusi, ini adalah kerana sifat lemah-lembut dan bersopan-santun telahpun berakar umbi dengan budaya Melayu.Sekiranya kita tenung sejenak bagaimana kedatangan Islam ke Tanah Melayu melalui uslub dakwah yang penuh hikmah oleh mubaligh-mubaligh Islam yang berdagang ke Tanah Melayu bukannya melalui mata pedang sepertimana kemasukan Islam ke Mesir, Syria, Jordan, Turki dan negara-negara Islam lain di Tanah Arab dan Eropah.
Secara teorinya pembawa risalah dakwah adalah pembawa imej Islam, masyarakat akan menilai kehebatan Islam berdasarkan kehebatan penyampainya.Sekiranya penyampai risalah Islam itu tidak melambangkan identiti Islam yang sebenarnya, ianya sedikit sebanyak akan menjejaskan imej Islam.Penyampai risalah dakwah haruslah lebih peka dengan perkembangan semasa dan dapat menguasai ilmu-ilmu terkini agar setanding dengan pemikir-pemikir sosial yang lain.Sepatutnya seorang Islam itu adalah individu yang serba mencakup kelebihannya dari segi ketakwaan kepada Allah dan kepintaran menguasai ilmu-ilmu Islam dan Sains.Selalunya Islam dikaitkan dengan pengajian akidah dan syariat semata-mata tanpa menoleh ke belakang, sebenarnya umat Islam lebih dahulu mendahului pemikir-pemikir barat dalam menguasai ilmu-ilmu astronomi, fizik, kimia, biologi, matematik, perubatan dan ilmu-ilmu yang lain.Antara pemikir Islam silam yang telahpun menguasainya ialah Ibnu Sina(Avicenna),Ibnu Rusyd(Averoes), al-Farabi, al-Khawarizmi dan ramai lagi sehinggakan pakar-pakar barat sehingga kini masih lagi menggunakan buku-buku dan teori-teori mereka sebagai rujukan.
Islam adalah cara hidup(ad-din), Islam bukanlah sekadar penyelesai persoalan remeh bahkan Islam pada hakikatnya adalah penyelesai seluruh bidang kehidupan manusia.Selalunya masyarakat melihat Islam dari perspektif yang terlalu tersudut iaitu berkisar tentang ibadat dan ketauhidan kepada Yang Maha Esa sahaja, sepatutnya Islam harus dilihat pada perspektif yang lebih mencapai iaitu satu sistem cara hidup yang serba mencakup sama ada sekecil-kecil perkara seperti adab bersin, bersugi, mandi dan sebagainya sehinggalah sebesar-besar perkara seperti mentadbir rumahtangga, masyarakat dan negara.
Penggemblengan untuk merealisasikan hasrat murni umat Islam perlu dipergiatkan,gerakan dakwah haruslah berakar dan merimbun di tengah-tengah masyarakat, manakala para da’i haruslah menjadi seperti sepohon pokok yang rimbun, sering mengeluarkan buah yang manis.Meskipun masyarakat membaling dengan batu dan menggoyangkan pohon tersebut, namun ianya tetap mengeluarkan buah yang manis.

Wallahu a’lam.

Wednesday, January 26, 2011

Rebutlah Pangkat Isteri Solehah




       Allah swt Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.

      Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.

Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh 'wildan-wildan'nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.

       Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya. Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.

Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, "Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan". Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.

       Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.

Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

       Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.



Wednesday, January 19, 2011

Kau yang aku cintai..


Diluluskan pada Isnin, 13 Februari 2006 @ 11:36:51 oleh istisafa
Tazkirah 


idie04 menulis "Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya."

Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."

Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau saya tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Saya ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.
1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima :

1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.
2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.
3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.
4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.
5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."